TAJUK 7: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN

 pendahuluan: 


Pengurusan bilik pembelajaran menekankan pelbagai aspek secara menyeluruh. Bilik pembelajaran ini didefinisikan bukan setakat bilik darjah sahaja malah meliputi segala tempat yang membolehkan para pelajar menuntut ilmu. Misalnya, di makmal, studio seni, perpustakaan dan sebagainya. Menurut Oldcorn (1988), beliau menghuraikan pengurusan sebagai cara membentuk peluang kepada organisasi supaya dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan. Oleh yang demikian, sesuatu pengurusan itu mestilah mempunyai sebuah organisasi agar pentadbiran dapat dikendalikan dengan teratur.

Manakala menurut Aizzat et al. (2006) pengurusan merujuk kepada proses pencapaian matlamat mengikut cara yang berkesan dan cekap. Justeru itu, pengurusan yang teratur perlu melalui proses perancangan, pengorganisasian, pemotivasian dan pengawalan seperti yang dinyatakan oleh Armstrong (1999). Perancangan iaitu memutuskan tindakan yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat. Pengorganisasian pula ialah menyediakan keperluan dan sumber manusia untuk pengendalian. Seterusnya pemotivasian iaitu memotivasikan sumber manusia supaya bekerjasama dengan lancar dan menjadi sebahagian daripada ahli.

Seorang pakar pengurusan, Henri Fayol (Fayol 1988) telah menyenaraikan proses dalam pengurusan bagi mencapai matlamat organisasi. Beliau menegaskan bahawa sesebuah organisasi perlu menjangkakan apa yang ingin dicapai sebelum merancang cara untuk mencapainya. Ia diikuti dengan mengendalikan apa yang telah dirancang, pengarahan dan pengagihan tugas kepada setiap ahli organisasi. Setelah agihan dibuat, pemantauan dan kawalan perlu dilakukan bagi memastikan keseluruhan perjalanan organisasi bergerak lancar dan mengikut hala tuju yang ditetapkan. Kesemua proses ini perlu dilaksanakan bagi menghasilkan pengurusan yang berkesan, yang boleh membawa kepada kejayaan organisasi.

Walau sekecil apa pun sesebuah organisasi itu namun ia juga perlu mematuhi proses pengurusan.
Menurut Good dan Brophy (2003), ruang pembelajaran seperti makmal atau bilik darjah yang merupakan organisasi yang kompleks, perlu diuruskan dengan berkesan agar semua sumber yang ada seperti guru, pelajar, kurikulum, peralatan dan bahan, dapat digunakan semaksimum mungkin bagi menghasilkan objektif pelajaran yang dibentuk. Aspek pengurusan merupakan aspek terpenting yang boleh membawa kepada kelancaran dan keberkesanan pembelajaran seseorang pelajar. Aspek pengurusan juga yang membezakan antara pengajaran yang berjalan lancar dengan pengajaran yang tidak terkawal (Willis 2005). Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pengurusan bilik pembelajaran amat penting sekali. Dalam kajian ini akan dikupas beberapa faktor dalam mengurus bilik pembelajaran.

Charles dan Senter (2002) mengemukakan Konsep Pengurusan Pelajaran yang dapat membantu pengurusan pembelajaran pelajar. Menurut mereka, pengurusan dan pengajaran saling berkaitan kerana pengurusan yang baik diperlukan bagi memastikan pengajaran yang berkesan dan berjalan lancar. Empat konsep pengurusan yang ditekankan iaitu (i) pemilihan dan pengendalian aktiviti pembelajaran, (ii) pembentukan kumpulan, (iii) penerangan dan arahan, dan (iv) pemantauan. Konsep pengurusan pelajaran ini amat bersesuaian dengan kaedah eksperimen yang akan dijalankan di makmal. Ia bermula dengan guru sebagai pengurus yang memilih eksperimen sebagai kaedah pembelajaran sains yang akan dilaksanakan. Kemudian, beliau merancang dan mengendalikan aktiviti eksperimen. Semasa perlaksanaan pembelajaran sains di makmal, pembentukan kumpulan-kumpulan kecil untuk menjalankan eksperimen dilakukan. Ia disusuli dengan penerangan dan arahan berkaitan prosedur dan peraturan yang perlu diikuti. Akhirnya, pemantauan sepanjang aktiviti pelajar perlu dilakukan bagi memastikan pelajar menjalankannya dengan teratur dan tidak berlaku sebarang kesilapan dalam mengumpul hasil eksperimen.

Isi penting

Dua pengurusan sumber yang perlu dikuasai oleh guru adalah pengurusan sumber manusia dan sumber fizikal. Sumber manusia merupakan satu faktor yang perlu diberi perhatian bagi memastikan visi dan misi untuk kepentingan manusia itu sendiri dalam sesebuah organisasi dapat dilestarikan secara optimum.

     Manakala, sumber fizikal adalah sumber yang berkaitan dengan kebendaan atau alam semula jadi. Seterusnya, sumber fizikal di dalam bilik darjah pula seperti yang kita tahu merangkumi segala kemudahan dan peralatan yang terdapat di dalamnya seperti kerusi meja untuk pelajar dan guru, papan hitam, papan kenyataan, ruang bacaan, almari buku, alat bantu mengajar (ABM) dan sebagainya. Penyusunan bilik darjah amat penting dalam situasi pembelajaran pelajar, keadaan ini dapat menggalakkan atau menghalang sesuatu pembelajaran. Menurut Sharifah Alwiah Alsagof (1986:44), persekitaran fizikal bilik darjah yang baik akan dapat meningkatkan kuasa serta sumber pengajaran guru.

   Selain itu, ilmu yang perlu diterapkan dalam diri seseorang guru itu adalah ilmu pengurusan bilik darjah, ilmu interaksi yang berkesan, ilmu pengurusan iklim bilik darjah dan ilmu pembelajaran dan pengajaran. Kesemua aspek ini perlu dikuasai oleh seseorang guru sewaktu mengajar di dalam bilik darjah. Interaksi dapat didefinisikan sebagai satu proses saling bertindak yang berlaku di antara sekurang-kurangnya dua pihak. Istilah dua pihak bermaksud sama ada ia merupakan orang perseorangan ataupun sekumpulan manusia. Jenis-jenis interaksi bercorak lisan ialah interaksi sehala atau tradisional, interaksi dua hala antara guru dan murid, interaksi dua hala antara murid dan murid, interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid, dan interaksi berkomputer.

Suasana bilik darjah yang kondusif penting bagi mewujudkan proses P&P yang berkesan. Suasana yang kondusif terbahagi kepada tiga iaitu suasana fizikal, suasana sosial dan suasana emosi. Suasana fizikal melibatkan unsur fizikal bilik darjah samada menggalak atau menghalang proses P&P. Guru berperanan menentukan suasana fizikal dengan melakukan perancangan dan penyusunan yang melibatkan mengorganisasi, merancang dan pengunaan ABM, APD, kerusi, meja, papan tulis dan sebagainya.

Seterusnya, suasana sosial iaitu guru harus mengkaji melalui pemerhatian biasa dan teknik sosiometri. Teknik sosiometri merupakan teknik untuk mencari dan menunjukkan perhubungan individu dangan pelajar selain daripada melalui Ujian Sosiometri Moreno yang digunakan bagi menentukan seseorang pelajar itu ahli sesuatu kumpulan atau penerimaan pada kumpulan lain. Kelemahan teknik ini ialah perhubungan yang dinyatakan pelajar adalah hubungan yang dianggap pelajar itu sendiri dan perhubungan yang sehala dan mungkin tidak dibalas. Akhir sekali ialah suasana emosi bilik darjah merupakan suasana lebih penting daripada fizikal dan sosial kerana terdapat gabungan daripada berbagai-bagai perkara seperti suara, kelucuan, pengunaan pujian, sikap dan ekspektasi bilik darjah, kemesraan, stail, kawalan dan kepimpinan dan kaedah mengajar.


RUMUSAN

Secara kesimpulannya, strategi pengurusan bilik darjah adalah berkait rapat dengan tiga aspek penting seperti unsur fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah. Selain itu juga, peranan daripada guru adalah penting  bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seiring dengan matlamat dan isi pembelajaran yang ingin disampaikan.

Rujukan:

Comments

Popular posts from this blog

TAJUK 4: PENGURUSAN MURID

TAJUK 5: PENGURUSAN BILIK DARJAH

TAJUK 11: PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA