TAJUK 4: PENGURUSAN MURID

 

TAJUK 4: PENGURUSAN MURID


pendahuluan: 

Pengurusan sebagai satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan bagi tujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai (Jaafar Muhammad,1998). Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan.
Isi penting

Di dalam pengurusan murid terdapat tiga elemen penting iaitu mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid.
1- Mengurus Rekod Murid
Terdapat lima aplikasi utama yang sangat penting dalam membantu guru untuk mengurus data dan
maklumat dengan lebih cekap dan bersistematik:

• Educational Management Information System Online (EMIS) - inisiatif untuk menjadikan sesuatu sistem yang berstruktur, berjadual dalam pengurusan, memungut, memproses, menyimpan, mengeluarkan dan menyaring data dan maklumat yang diperlukan untuk menyokong aktiviti utama dan kitaran kerja bagi semua pengurus dan pembuat dasar di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), dan sekolah. Data yang diperolehi daripada sistem ini akan digunakan untuk pentadbiran, perancangan, pemantauan dan kawalan ke atas program, projek, penyelidikan, analisis polisi dan membuat keputusan.

• Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) – Aplikasi Pangkalan Data Murid Secara Dalam talian (APDM) telah mula digunakan bermula tahun 2012 menggantikan Sistem Maklumat Murid (SMM) yang digunapakai sebelum ini untuk mengumpul maklumat dan profil murid di seluruh sekolah-sekolah KPM. Masalah maklumat pelajar yang tidak terkini, tidak lengkap, pertindihan maklumat dan sebagainya dapat diatasi dengan pelaksanaan APDM yang berasaskan sebuah sistem maklumat online berbanding menggunakan MS Access dalam SMM sebelum ini. Aplikasi APDM ini juga akan menjadi pangkalan data utama yang menghubungkan semua sistem lain yang diperkenalkan baru-baru ini seperti SAPS, SPPBS,
dan lain-lain.

• Sistem Salahlaku Disiplin Murid (SSDM) – Sistem Salahlaku Disiplin Murid (SSDM) adalah kaedah atau cara yang digunakan untuk mengawal dan mengekalkan disiplin pelajar di sekolah. Sistem ini berkonsepkan Merit dan Demerit iaitu denda dan ganjaran. Sistem Salahlaku Disiplin Murid (SSDM) berasaskan web ini bertujuan untuk merekod maklumat salahlaku disiplin murid di seluruh Malaysia dengan capaian yang mudah dan berkesan. SSDM dapat membantu dalam penyediaan maklumat yang efektif dan terkini di mana ianya secara langsung akan dapat membantu pengurusan di semua peringkat membuat perancangan bagi mengatasi dan mengawal masalah disiplin murid dengan lebih teratur, baik dan berkesan.

• Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) - SAPS atau Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah dirangka bagi menjalankan fungsi sebagai pusat pengumpul, penyimpan dan menganalisis data peperiksaaan dalaman setiap sekolah di seluruh Malaysia. Sistem ini berfungsi hanya di dalam talian (online) yang boleh dicapai oleh pihak tertentu seperti KPM, JPN, PPD dan sekolah. Penyediaan pusat data yang berpusat ini memberi kemudahan dan boleh digunakan oleh pihak KPM, JPN dan PPD untuk membuat perbandingan, analisis ataupun mengenalpasti kelemahan yang ada untuk diperbaiki.

• Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) – Sistem SPPBS ini dibangunkan secara dalam talian dan digunakan dikalangan guru Malaysia bagi memudahkan proses kemaskini serta memasukkan data prestasi murid berdasarkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

2- Kesediaan Murid Belajar
Pembelajaran di dalam bilik darjah hanya akan berlaku sekiranya wujud kesediaan. Kesediaan ini merangkumi tiga bahagian iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor.

• Kesediaan kognitif
Kesediaan kognitif merujuk kepada peringkat perkembangan mental untuk menerima rangsangan dan memahaminya, menaakul dan berfikir serta dapat menghubungkaitkan pengalaman yang sedia ada seseorang. Keupayaan ini akan bertambah mengikut tahap perkembangan umur seseorang.

• Kesediaan afektif
Kesediaan afektif merupakan sikap dan minat pelajar terhap sesuatu pelajaran. Apabila pelajar mempunyai kesediaan afektif yang positif, secara tidak langsung mereka akan menjadi aktif dan mudah untuk menerima pembelajaran. Secara tidak langsung, pelajar memperoleh kepuasan dan keseronokan dalam pembelajaran. Malahan ini menjadi dorongan kepada mereka untuk lebih berjaya.

• Kesediaan psikomotor
Kesediaan psikomotor adalah kesediaan fizikal dan psikomotor kasar dan halus pelajar untuk menjalani latihan yang menggunakan fungsi tubuh badan sebagai penggerak utama. Penguasaan kesediaan psikomotor bergantung kepada kesediaan kognitif serta kesediaan afektif pelajar. Terdapat faktor yang mempengaruhi kesediaan pelajar iaitu faktor pengalaman dan kematangan.

1- Pengalaman
Pengalaman yang sedia ada dalam diri seseorang pelajar menjadi faktor utama mempengaruhi kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran yang disampaikan oleh guru. Sesetengah guru menghadapi kesukaran dalam melaksanakan pengajaran kerana isi pelajaran yang disampaikan itu berada di luar pengalaman pelajar.

2- Kematangan
i. Kematangan fizikal
Kematangan fizikal melibatkan perkembangan psikomotor. Individu yang normal akan mengalami perkembangan dan mencapai satu tahap kematangan fizikal yang sama dalam tempoh masa yang seragam. Aspek ini menjadi rujukan utama kepada guru-guru yang mengendalikan subjek berkaitan dengan penggunaan tubuh badan.

ii. Kematangan mental
Kematangan mental merupakan perkembangan dan persediaan minda manusia untuk menerima sesuatu pembelajarannya. Kebiasaanya, kanak-kanak berusia enam tahun tidak boleh memahami apa-apa yang dipelajari oleh murid tahun enam. Hal ini kerana, kanak- kanak enam tahun belum didedahkan dengan konsep-konsep abstrak yang telah dipelajari oleh murid tahun enam.

iii. Kematangan sosial
Kematangan sosial merupakan keupayaan seseorang individu itu membentuk hubungan baik dengan individu lain. Individu yang mempunyai kematangan sosial yang baik akan mempamerkan sikap dan tingkah laku yang positif apabila berinteraksi dengan individu lain.

iv. Kematangan emosi
Menurut Shahbuddin hashim dan Dr. Rohizani Yaakob (2003: 14), kematangan emosi merujuk kepada kestabilan dalam minat, sikap serta keinginan. Oleh itu, rangsangan yang selaras dengan minat dan keinginan tentunya akan mempengaruhi kesediaannya untuk menerima pelajaran.

3- Memotivasikan Murid
Motivasi ialah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan yang diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperoleh kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan. Terdapat dua jenis motivasi iaitu motivasi instrinsik dan motivasi ekstrinsik.

• Motivasi Instrinsik
Motivasi intrinsik ialah dorongan dan minat yang terdapat pada diri seseorang pelajar untuk melakukan sesuatu tanpa mengambil kira ganjarannya. Dengan itu, teknik motivasi instrinsik berkait dengan sifat semula jadi seseorang dengan unsur yang sedia ada dalam pembelajaran.

• Motivasi Ekstrinsik
Motivasi ini direka cipta oleh faktor luaran seperti ganjaran dan dendaan. Punca motivasi wujud daripada persekitaran (Woolfolk,2006). Motivasi ekstrinsik berkait dengan unsur luaran yang tidak semula jadi dengan pembelajaran. Ganjaran yang nyata seperti pujian, hadiah, markah, gred, wang, pengiktirafan berbentuk sijildan penghargaan diberikan kepada mereka yang berjaya mencapai prestasi baik atau melakukan sesuatu tugasan atau aktiviti yang diamanahkan.

RUMUSAN:

Semua sekolah mestilah mempunyai sistem yang sistematik dalam menguruskan murid di sekolah supaya teratur dan mudah diuruskan. Dalam menguruskan murid bukan sahaja mengenai maklumat mengenai murid, malahan cara guru untuk digunakan dalam pengajaran yang bersesuaian kepada murid-muridnya untuk menimbulkan rasa minat terhadap mata pelajaran yang diajar. Seterusnya, memotivasikan pelajar juga penting untuk memberi semangat kepada murid untuk sentiasa minat untuk belajar dan dapat meningkatkan pencapaian prestasi akademik setiap murid.

Rujukan:
Ernie Dharlya Che Daud & Aslina Saad. (2013). Sistem maklumat pengurusan dalam talian di sekolah dalam konteks Malaysia. Seminar kebangsaan ICT dalam pendidikan.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2012). Murid dan alam belajar. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Comments

Popular posts from this blog

TAJUK 5: PENGURUSAN BILIK DARJAH

TAJUK 11: PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA