TAJUK 5: PENGURUSAN BILIK DARJAH
pendahuluan:
Istilah pengurusan mempunyai berbagia-bagai takrif. Seperti bidang-bidang pengajian dan pendidikan yang melibatkan manusia, istilah pengurusan sukar untuk ditakrifkan bagi membolehkan ia diterima secara umum. Mary Parker Follett, seorang pelopor pengurusan klasik mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui sumbangan orang lain.
Takrif pengurusan yang diberi oleh Follett ini banyak didapati dalam buku pengurusan moden. Harold Koontz pula mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui dan bersama orang lain di dalam suatu kumpulan yang sengaja diadakan. Takrif pengurusan seperti ini memberitahu kepada kita bahawa pengurusan biasanya mencapai objektif dengan cara memberikan penugasan kerja kepada orang lain supaya kerja- kerja dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif tersebut.
Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tempat yang terpenting yang perlu ada pada sekolah. Ia juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seseorang guru. Secara amnya, bilik darjah ialah bilik- bilik disekolah dimana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Untuk konsep yang lebih luas, bilik darjah tidak semata- mata merupakan ruang untuk proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar- pelajar dan guru yang belajar dan mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain didalamnya.
Pengurusan bilik darjah merupakan satu proses yang memerlukan guru mengurus bilik darjah agar aktiviti penagjaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan. Tugas mengurus bilik darjah termasuk juga aktiviti mengatur reka letak fizikal dan mewujudkan komunikasi dan interaksi dikalangan pelajar dan guru. Pengurusan bilik darjah juga boleh didefinisikan sebagai set tingkahlaku yang kompleks yang digunakan oleh guru untuk menetapkan, dan memastikan keadaan- keadaan bilik darjah dapat membawa ke pencapaian objektif pengajaran yang berkesan.
Menurut Lee Shok Mee(1995), pengurusan bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai semua tindakan guru mengendalikan kelas supaya mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun untuk menggalakkan pembelajaran.
Isi penting:
Terdapat beberapa ilmu mengurus bilik darjah yang perlu seseorang guru itu miliki dan kuasai. Antara ilmu mengurus bilik darjah tersebut ialah ilmu pengurusan dari segi fizikal, sosial dan emosi. Dari aspek pengurusan fizikal, perkara yang perlu diutamakan oleh seseorang guru adalah memastikan keadaan bilik darjah itu sentiasa bersih dan kemas.
Selain itu, susunan meja juga penting dalam mewujudkan suasana yang kondusif. Susunan meja di dalam bilik darjah perlulah mengikut peredaran zaman iaitu susunan meja yang berkonsepkan alaf 21 yang mana meja guru tidak semestinya berada di hadapan kelas dan susunan meja murid-murid sepatutnya dibuat secara berkumpulan agar memudahkan murid-murid untuk berkomunikasi dan berbincang.
Hal ini kerana, ia akan melancarkan pergerakan guru untuk mendekati murid dengan sebab ingin memahamkan lagi murid-murid tentang sesuatu topik tersebut. Sudut-sudut bacaan yang menarik juga hendaklah diwujudkan bagi merangsang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan berinovasi.
Dari aspek pengurusan sosial pula, perkara yang paling penting adalah kemahiran komunikasi. Seseorang guru itu perlu bijak dalam berkomunikasi dengan murid-murid dalam memastikan ilmu yang diajarkan difahami oleh murid-murid. Jadi, guru perlu menggunakan bahasa yang berkesan iaitu tepat, jelas dan ringkas. Penggunaan bahasa yang panjang dan meleret-leret akan menyukarkan murid untuk memahami apa yang guru ajarkan dan menyebabkan murid berasa bosan dengan apa yang guru sampaikan.
Oleh itu, guru perlu mempunyai ilmu tentang aspek pengurusan sosial ini demi mewujudkan hubungan yang baik antara guru dan murid-murid. Dari aspek pengurusan emosi, seseorang guru itu perlulah sentiasa bersikap profesional dalam semua perkara. Guru perlu bersikap profesional agar perkara yang tidak diingini berlaku. Misalnya, sekiranya guru tersebut mempunyai masalah peribadi dan beliau tidak sepatutnya mencampuradukan urusan peribadi dengan urusan di sekolah. Hal ini kerana secara tidak langsung, ia akan memberi kesan yang negatif kepada murid-murid di dalam bilik darjah.
Ilmu mengurus bilik darjah yang seterusnya ialah ilmu pengurusan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pengajaran dan pengurusan adalah penting dan ia saling berkait. Jadi, ini melibatkan perancangan guru dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dapat mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan. Peningkatan profesionalisme guru di dalam bilik darjah dapat dilihat dalam aspek kebolehan mencorak kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi pembelajaran, kebolehan mencorak iklim dalam bilik darjah dan sebagainya.
Rumusan:
Kesimpulannya, guru yang berkualiti mempunyai wawasan yang jelas, daya kreativiti, serta peka terhadap segala perubahan yang dikehendaki oleh pengurusan atasan supaya tidak berlaku pembaziran waktu disebabkan berlakunya pemantauan yang efektif. Guru yang berwibawa sentiasa berfikir kaedah bagi mencapai pengurusan bilik darjah yang cemerlang, diantara perkara utama yang harus dipandang berat ialah memahami amanah yang diberikan padanya dalam kerjayanya sebagai pendidik.
Tugas guru bukan sahaja mendidik malahan lebih daripada itu sekiranya matlamat utama yang ingin dicapainya adalah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berjaya didunia dan akhirat. Oleh itu, semua guru dan bakal guru haruslah menitikberatkan apa yang berkaitan dengan pengurusan bilik darjah dari segala aspek agar matlamat dan objektif pendidikan dapat dicapai. insyaAllah.
Rujukan:
Comments
Post a Comment